Categories

Lesson 6

Blog Archive

Follower

Statistik

Get Gifs at CodemySpace.com

Sekilas Tentang Mu’awiyah bin Abi Sufyan



            Kalau berbicara tentang Bani Umayyah, kita tentu akan menyentuh tentang Mu’awiyah bin Abu Sufyan, pengasas dan khalifah pertama Bani Umayyah.

            Terdapat beberapa hadis sahih yang menerangkan tentang kedudukan Mu’awiyah.  Salah satu  daripadanya ialah seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Khalid bin Mihran, “Pada suatu hari, Umair bin al-Aswad al-Ansi menceritakan yang dia pergi ke rumah Ubadah bin Shamit di Himsh.   Ketika itu, Ubadah berada bersama isterinya, Ummu Haram.  Umair berkata yang Ummu Haram menceritakan yang dia pernah mendengar Rasulullah SAW  bersabda, ‘Tentera pertama umatku akan berperang di laut.  Mereka adalah orang-orang yang berhak mendapat syurga.’ Ummu Haram bertanya, ‘Apakah aku termasuk di antara mereka, ya Rasulullah?’  Beliau menjawab, ‘Engkau termasuk di antara mereka’”11


            Para ahli syarah menulis yang hadis itu berbicara tentang Mu’awiyah kerana dialah orang yang pertama melakukan peperangan di laut pada masa pemerintahan Khalifah Utsman r.a.   Mulai dari peperangan di laut itulah lahirnya tentera laut Islam pertama pada pemerintahan Khalifah Utsman r.a dan menjadi semakin kuat pada masa pemerintahan Mu’awiyah.12

            Mu’awiyah bin Abi Sufyan merupakan pengasas dan khalifah pertama Bani Umayyah.  Sejarah mencatat yang pada masa pemerintahannya, Mu’awiyah memberikan kebebasan berbicara, memberi pendapat dan juga kebebasan menentang.13

            Dr. Yusuf al-Qardhawi menulis14, Ibnu Qubail meriwayatkan yang Mu’awiyah menaiki mimbar pada suatu hari Jumaat yang sangat panas.  Dalam khutbahnya, dia berkata, “Harta dan fai’ adalah milik kami.  Kami memberi dan tidak memberikan harta itu kepada orang yang kami kehendaki.”   Tidak ada seorang pun yang membantahnya.  Lalu, pada Jumaat kedua, sekali lagi dia mengatakan seperti apa yang dikatakannya pada Jumaat sebelumnya.  Dan sekali lagi, tidak ada yang membantahnya.  Pada Jumaat ketiga, dia mengulangi lagi ucapannya seperti dua Jumaat yang lalu.  Tetapi kali ini seorang lelaki yang hadir di masjid berdiri dan berkata, “Tidak!  Harta dan fai’ adalah milik kami.  Sesiapa yang menghalang kami mengambilnya, akan kami adukan kepada Allah dengan pedang kami!”  Mu’awiyah turun dari mimbar dan memerintahkan anak buahnya memanggil lelaki tersebut.  Orang-orang pun berkata, “Celakalah nasib lelaki itu!”  Kemudian, orang-orang pun masuk dan mendapati yang lelaki itu duduk di katil bersama Mu’awiyah.  Mu’awiyah berkata pada mereka, “Orang ini telah menghidupkan saya sehingga Allah pun menghidupkannya.  Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Setelahku nanti, akan ada para pemimpin yang ucapan mereka tidak akan dibantah.  Sehingga akhirnya mereka dicampakkan ke dalam api neraka seperti monyet-monyet yang dicampakkan.’   Pada Jumaat pertama saya berbicara, tidak ada seorang pun yang membantah dan saya takut saya termasuk dalam golongan mereka.   Pada Jumaat kedua, masih tidak ada orang yang membantah sehingga aku berkata di  hati kecilku yang aku termasuk dalam golongan mereka.  Lalu, pada Jumaat ketiga saya berbicara, lelaki ini berdiri dan membantahku.  Dia telah menghidupkan aku sehinggal Allah menghidupannya.” 15

            Harus diakui bahawa seorang khalifah ataupun pemimpin seperti Mu’awiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang pemimpin besar dunia, lebih-lebih lagi kalau dibandingkan dengan raja-raja ataupun pemimpin yang zalim, diktator, gila kuasa yang terdapat di dunia ini, baik pada masa dulu mahu pun pada hari ini, seperti Heraclyus, Hitler, Lenin, Karl Marx dan lain-lain lagi.

            Kedudukan Mu’awiyah hanya akan turun kalau dibandingkan dengan Khulafur Rasyidin kerana dia telah menyalahi sunnah mereka kerana tidak memberi kebebasan kepada kaum Muslimin memilih pemimpin mereka sendiri.  Mu’awiyah memberi jawatan khalifah kepada keluarganya dan menjadikan jawatan itu sebagai jawatan yang diwarisi secara turun temurun.   Selain dari itu, dia juga melakukan pemberontakan terhadap Khalifah Ali bin Ali Thalib r.a pada Perang Shiffin.

            Imam Mahmud pernah ditanya tentang peristiwa yang berlaku di antara Ali bin Abi Thalib r.a dan Mu’awiyah bin Abu Sufyan, dan beliau menjawabnya dengan membacakan ayat berikut :

            “Itu adalah umat  yang lalu; baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang sudah kamu usahakan, dan kamu tidak akan diminta bertanggungjawab atas apa yang telah mereka kerjakan”  (Surah Al-Baqarah [2] : 134).16

            Walau bagaimanapun, terdapat berbagai catatan sejarah menulis tentang Mu’awiyah.  Yang harus menjadi perhatian kita ialah usaha dan tanggungjawab Mu’awiyah sebagai pemimpin dan ketua umat Islam.

0 komentar:

Posting Komentar